The Big Durian
Konsep

HOME

Konsep | The Concept | Production Team

The Big Durian mengambil sebagai batu loncatan peristiwa yang berlaku pada tahun 1987 apabila seorang soldadu bernama Prebet Adam mengamok dan membunuh di kawasan Chow Kit Kuala Lumpur sambil bersenjatakan senapang M-16.

Kejadian itu menimbulkan keresahan umum kerana disangka sebagai petanda rusuhan kaum berdarah seperti yang pernah melanda Malaysia pada tahun 1969. Rusuhan sedemikian tidaklah timbul, namum emosi rakyat tatkala itu agak panas akibat beberapa faktor politik dan ekonomi. Amok tersebut telah dijadikan alasan untuk penutupan akhbar dan juga tahanan beramai-ramai di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dalam tindakan yang digelar "Operasi Lalang."

Apakah yang anda lakukan pada hari itu? Bagaimanakah cara anda mendapat tahu tentang kejadian itu? Jika anda turut rasa gemuruh, apakah antara faktor yang telah menyebabkan perasaan anda itu?

Filem ini akan bergantung dengan kuat kepada improvisasi, yakni pelakon harus bersedia untuk membentuk dan mewarnakan watak yang akan dimainkan. Beberapa pelakon akan menceritakan pengalaman sendiri. Ada yang akan menceritakan pengalaman yang berlaku kepada orang lain. Ada yang akan menyampaikan cerita rekaan. Dan ada yang akan bercerita mengikut skrip yang telah ditulis oleh pengarah. Persembahan akan berbentuk monolog terus-kepada-kamera atau seperti wawancara/diskusi dengan pengarah. Jurang antara rekaan dan fakta akan menjadi semakin tipis hingga ianya hampir (atau mungkin terus) lenyap.

Bukan semua pelakon akan menceritakan pengalaman pada hari bersejarah itu. Ada yang menggunakan cerita kiasan, dan ada yang akan menceritakan yang 'kurang ajar', dan mungkin ada juga cerita yang 'kurang relevan'. Terdapat beberapa hal yang boleh diperincikan perihal insiden Prebet Adam. Maklumlah, beberapa faktor berbeza telah bersekongkol dan berserabut dalam menimbulkan gelisah umum pada waktu itu: Hasutan politik, ketegangan kaum, penyekatan akhbar, ekonomi yang meleset, polis, khabar angin, tahanan tanpa bicara, kerabat di raja, dan juga pendidikan bahasa ibunda. Beberapa daripada faktor sama turut berlegar semula tatkala munculnya kontroversi Malaysia terkini.

Justeru itu, beberapa perkara yang boleh diambil kira ketika pelakon membentuk persembahan atau watak mereka ialah:

Pernahkan anda bertugas dalam parti politik dan bagaimanakah pengalaman itu? Pernahkan anda menaruhkan kepercayaan kepada politikus tapi kecewa apabila kepercayaan itu dinodai?

Adakah anda secara rahsia merasakan bahawa bangsa lain hendak 'menindas' anda? Apakah pengalaman anda yang paling awal atau paling terkesan bila berhadapan dengan sifat perkauman?

Kenalkah anda sesiapa yang berketurunan di raja dan bagaimanakah sifat mereka? Benarkah mereka orang istimewa?

Pernahkah anda dizalimi seseorang tapi tak terdaya melawan balik kerana orang itu dianggap "kebal"?

Anda dididik dalam bahasa apa, dan pernahkah anda menyesalinya? Pernahkah anda rasa terasing akibat rupa atau bahasa pertuturan anda?

Apakah antara dongeng moden atau khabar angin Malaysia yang paling karut yang sampai ke telinga anda? Pernahkan anda percaya akan khabaran demikian tapi kemudian mendapati sangkaan anda meleset?

Pernahkah khabar angin memberi dampak ke atas kehidupan peribadi atau kerjaya anda?

Pernahkan anda idamkan untuk menetap di negara lain dan kenapa?

Pernahkan anda beri wang sogok kepada anggota polis, dan jika pernah, bila dan bagaimana?

Pernahkan anda ditahan dalam penjara dan bagaimanakah pengalaman itu?

Pernahkah anda dicengkam marah yang begitu kuat hingga sanggup membunuh? Pernahkah anda membunuh?

Pernahkah anda menjadi mangsa kekejaman yang timbul tanpa sebab?

Rentetan insiden 1987 merupakan proses kematangan kepada ramai daripada kita yang membesar ketika itu. Dalam erti lain, ianya menandakan kehilangan zaman murni kita. Anda mungkin ingin bercerita walhal masa-masa yang lain dalam hidup anda di mana rasa murni seakan hilang, seperti pengalaman seks yang pertama, pengalaman kena belasah yang pertama atau saat apabila anda sedar bahawa orang tua anda tidaklah punyai jawapan untuk segalanya.

Ini setakat beberapa lontaran permulaan. Kami akan bekerja dengan pelakon yang dipilih untuk membentuk setiap cerita mereka. Anda tidak perlu pernah mengalami atau mempercayai cerita yang anda huraikan sekalipun. Ingat: Anda mungkin memainkan watak rekaan sepenuhnya.

Kami akan menitikberatkan cerita yang bercorak natatif, yang samada berbentuk imbas kembali atau seperti ianya berlaku kini dan di sini. Kami tidaklah mampu menjanjikan bahawa kandungan filem ini akan mewakili pengalaman setiap orang, tapi kami berminat untuk merangkumi watak dari pelbagai aspek kehidupan. Justeru itu, filem ini akan mengandungi beberapa bahasa. Beberapa daripada cerita mungkin akan dijelmakan sebagai lagu, atau jenaka atau (untuk yang berani) persembahan tanpa pengucapan. Seperti buah masyhur yang memberi nama kepada tajuknya, filem ini mungkin nampak berat dan tajam tapi boleh dinikmati untuk segmen-segmennya yang lazat ... biarpun ada juga yang mungkin jadi loya.

Jangkamasa untuk setiap segmen (iaitu, waktu yang diberi untuk setiap watak) dalam lingkungan 1 hingga 10 minit, bergantung kepada kesesuaian setiap cerita dalam rangka dan bentuk filem keseluruhannya. Skrip akhir, yang ditulis semula dan dirombak oleh pengarah, akan diberi kepada setiap pelakon hanya beberapa hari sebelum tarikh persembahan. Secara amnya, kami hendakkan rasa yang spontan, bebas dan bukannya yang terlalu dikawal. Mungkin juga ada cerita yang akan dipersembahkan seperti "ujibakat" di mana anda akan masih memegang skrip yang belum sempat dihafal.

Perlukah anda datang ke sesi ujibakat dengan cerita yang lengkap?

Tidak. Setakat pendapat asas, atau cebisan, atau watak yang menarik yang mungkin dapat menyumbang kepada tema keseluruhan sudah memadai.

Ilham pengkaryaan untuk filem ini datangnya daripada dua filem, iaitu Mysterious Object at Noon dari Thailand (kerana kelincahannya mengaburkan garis pemisah antara fiksyen dan dokumentari) dan Homework dari Iran (kerana percaya bahawa percakapan terus kepada kamera ada tarikan dan sihirnya sendiri). Perlukan anda tonton kedua-dua filem ini sebelum anda mencuba nasib anda?

Tidak. Buat apa bergantung kepada orang asing? Malaysia Tetap Boleh.

Kami semua harap dapat bekerja dengan anda.