The Big Durian filem Malaysia
[Click here to go to article on Mingguan Malaysian/Utusan Malaysia website]

Oleh Saifullizan Tahir

The Big Durian, sebuah filem Malaysia yang melanggar segala dogma dan hukum yang biasa kita dapati dari filem arus perdana Malaysia. Sebagai permulaannya, ia tidak ditayangkan di mana-mana pawagam secara komersial.

The Big Durian ditulis dan diarahkan oleh Amir Muhamad. Tetapi ini bukanlah filem pertama Amir. Sebelum ini dia menghasilkan Lips to Lips (2000) (judul yang diambil dari cerpen penulis kegemaran Amir, Vladimir Nabokov) dan beberapa filem pendek.

Beberapa filem arahannya pernah memenangi anugerah di festival filem antarabangsa seperti Lost (2001) dan Kemunting (2001) yang mendapat anugerah di Festival Filem Antarabangsa Singapura 2003.

Filem ini dibuat secara ala dokumentari. Menurut Amir, ia adalah sebuah dokumentari yang bukan dokumentari. Walau apa pun filem ini terasa begitu dekat dengan jiwa Malaysia, seperti membaca komik Lat yang penuh dengan karakter hidup di sekeliling kita.

Filem ini tidak menggunakan formula magik biasa penerbit filem Malaysia. Tiada barisan pelakon dan penyanyi popular, tiada lawak slapstik. Tiada juga plot dan subplot cerita cinta remaja terencat yang memualkan, dan tiada juga adegan rogol bergilir-gilir untuk mensensasikan cerita.

Filem ini bertolak dari kejadian amok Prebet Adam pada 18 Ogos 1987. Peristiwa yang membawa ketegangan di sepelosok Malaysia. Prebet Adam seorang askar mengamuk dan melepaskan tembakan senapang M-16 di kawasan Chow Kit, seorang terbunuh dan dua orang cedera. Kekecohan tentang kemungkinan terjadi rusuhan kaum menular seperti api. Semua orang menunggu berita, tetapi seperti biasa berita hanya dapat dari angin lalu; khabar angin.

Ia cuba merakam suasana Malaysia sebelum 1987 dan kesannya kepada penghuni. Filem ini dengan jayanya melukis kerengsaan hidup berbilang kaum. Mengeluarkan habuk-habuk yang selama ini kita sapu rahsia di bawah karpet empuk bernama Malaysia.

Filem ini membawa ke fikiran bawah sedar kita. Ia mengingatkan kita tentang siapa diri kita dan di mana kita sekarang. Bukan angan-angan ataupun utopia sebuah negara membangun, tetapi realiti atau yang hampir dengannya. Mungkin menontonnya bukanlah sesuatu yang selesa, malahan meresahkan. Tetapi budaya selesa inilah yang sebenarnya menjadi masalah kita.

Struktur filem berdiri dengan siri temu bual dari segenap lapisan masyarakat. Daripada pekerja hotel murah tempat Prebet Adam menginap sehinggalah kepada ahli akademik. Filem ini di mulakan dengan Muluk watak perantau dari Sabah yang be-kerja di kawasan Chow Kit. Muluk menceritakan pengalaman peribadinya di Kuala Lumpur dan mengapa dia ke Kuala Lumpur.

Temu bual ini dilakonkan semula dan ada juga yang sememangnya tulen. Walaupun dilakonkan semula, menurut Amir, semua isinya adalah daripada temu bual yang sebenar. Mungkin tidak semua kenyataan yang disampaikan

itu tepat, tetapi apa yang mereka fikirkan itulah yang lebih penting. Daripada temu bual itu kita dapat merasakan betapa kita tidak mengenali satu sama lain.

Satu, tapi terpisah, kelihatan larut, tetapi tidak sebati. Masih terlalu banyak prejudis dan sangsi, dan apa yang paling menakutkan adalah ia sudah menjadi perkara biasa kepada kita.

Memang ada antara kita yang tidak akan bercakap dengan kaum lain jika tidak terpaksa. Orang Melayu tidak akan bercakap dengan orang Cina jika tidak untuk membeli barang. Orang Cina tidak akan bercakap dengan orang Melayu jika tidak ke pejabat kerajaan, dan orang India tidak akan cakap dengan sesiapa jika tidak kerana kerja.

Mungkin disebabkan oleh budaya voyeuristik yang sedang menular di TV (dari siri Survivor dan Edisi Siasat) menambahkan lagi keseronokan menonton filem sebegini, keghairahan melihat kejadian sebenar. Mendengar pendapat mereka yang kelihatan seperti jiran tetangga kita sendiri.

Amir membuat filem ini untuk mengajak penonton berfikir. Tiada kesimpulan yang diberi, hanya soalan demi soalan yang perlu diberi jawapan. Filem ini memberitahu, tentang banyak perkara yang kita tidak tahu. Sebagai contoh, tahukah kita yang mana satu Sungai Gombak dan Sungai Klang di tepi Masjid Jamek?

Filem ini dengan bijak menganyam dua peristiwa berasingan dan menjadikannya seperti satu konspirasi yang besar. Amir dengan licik mengelirukan penonton, membuatkan penonton yang tidak tahu tertanya-tanya. Penonton yang tahu, berfikir apakah kebenaran yang Amir bawakan adalah satu kenyataan. Seolah-olah tidak dapat mempercayai ingatan masing-masing.

Jiwa filem ini dirasakan lebih dekat dengan Malaysia kerana ia dibuat dalam bahasa Melayu bersarikata Inggeris. Tidak seperti Lips to Lips yang digelar filem Bangsar kerana watak-watak utamanya berbahasa Inggeris.

``Orang Bangsar juga perlu ada filem,'' tegas Amir dengan tersengih. Beliau juga merasakan filem ini dapat dinikmati dengan lebih mendalam oleh penuntut IPT tempatan lebih daripada filem sebelumnya.

Menurut Amir, filem ini untuk tontonan penghuni Malaysia, kerana apabila ditayangkan kepada masyarakat luar, mereka akan dapat rasakan ruang-ruang yang tidak dipenuhi. Amir dengan sengaja membiarkan lompongan-lompongan ini untuk diisi sendiri oleh para menonton. Tetapi apabila ditayangkan di Singapura beberapa bulan yang lalu, sambutan yang diterima memeranjatkan Amir. Filem ini meninggalkan kesan kepada penonton-penonton Singapura terutama yang berhijrah dari Malaysia.

Mereka benar-benar tersentuh kerana filem ini mengingatkan mereka perkara yang menyebabkan mereka pergi dan tentang apa yang mereka sayang dan rindu tentang Malaysia.

Penggambaran filem ini mengambil masa hanya selama tujuh hari. Tetapi proses penyuntingan mengambil masa dua bulan. Daripada 21 jam durasi rakaman keseluruhan filem, disunting menjadi 75 minit daripada 80 temu bual dipadatkan kepada 24 watak.

Filem ini dirakamkan secara digital dan penyuntingan juga dibuat menggunakan komputer meja. Jika hendak dilihat dari segi teknikal, memang banyak kepincangannya. Namun dengan belanja sebegini, ia sudah cukup berpada. Cubalah buat pertama kali menonton filem untuk isinya - bukan kulit. Seperti buah durian, kupas buang kulit dan lahap isinya!

- The Big Durian akan ditayangkan di Sobranie Classic Cinema, No. 3, Lorong Stonor, Off Persiaran Stonor, Kuala Lumpur pada 27 hingga 29 Oktober ini.

© UTUSAN MELAYU (M) BHD


[x] close