Sejarah baru di Sundance

Utusan Malaysia (12 January, 2004)
[Link to article on Utusan website]

Ketika ini kalau ditanya kepada peminat pelakon Erra dan Yusry, apakah filem besar yang dinanti-nantikan, tentu saja mereka menjawab Kuliah Cinta. Filem ini menggandingkan Erra dan Yusry yang entah berapa kali
sebelum dan selepas ini. Malah itulah yang bermain di kepala sebahagian besar peminat filem tempatan kerana Erra dan Yusry telah mengatasi nilai sebuah filem.

Tetapi ada peristiwa lain yang lebih besar daripada Erra, Yusry dan Kuliah Cinta berlaku dalam dunia filem tempatan. Biar pun kepada peminat dua pelakon ini, Erra dan Yusry adalah segala-galanya tetapi di Festival Filem Sundance ada yang lebih besar telah berlaku.

Filem Malaysia The Big Durian arahan Amir Muhammad telah mengetuk pintu Festival Filem Sundance di Park City, Utah, Amerika Syarikat. Inilah kali pertama sebuah filem Malaysia diterima menyertai festival yang
dianjurkan oleh pelakon tersohor, Robert Redford.

Tentu saja ada baiknya, peminat filem kita turut membuka mata dengan kejayaan The Big Durian. Kalau mahu ditulis dalam agenda perfileman tempatan tahun ini, tentulah bukan Erra jadi gemuk atau tua. Catatan
yang sewajarnya ialah sebuah filem kecil berkonsep eksperimental dari Malaysia ibarat seluang yang berenang megah di laut dalam.

Jenama Festival Filem Sundance sebenarnya sangat besar dan gah. Cuma sesetengah daripada kita saja yang terlepas pandang akibat kilauan Anugerah Academy. Festival Filem Sundance jauh lebih berprestij daripada
Anugerah Academy dan lebih jujur daripada Festival Filem Cannes.

Filem The Big Durian yang dimasukkan dalam kategori Dokumentari Dunia akan ditayangkan di Sundance pada 17, 20, 22 dan 24 Januari ini. Amir telah berlepas ke Park City tanpa seheboh delegasi atlet ke acara sukan
antarabangsa. Amir bukan atlet dalam sukan. Lalu memang sangat wajarlah kejayaan ini hanya dirasakan oleh mereka yang tahu menilainya saja.

Apa itu The Big Durian? Maaf, pelakonnya tidaklah sepopular Kuliah Cinta atau Mr. Cinderella. Ceritanya pun bukan kisah cinta yang terencat akal atau disumbat adegan rogol yang sadis untuk mensensasikan. The Big
Durians juga tidak menggunakan formula biasa penerbit filem Malaysia. Khabarnya The Big Durian satu-satunya filem tempatan yang tidak boleh ditayangkan di tempat umum. Maknanya ia hanya boleh ditayangkan di tempat tertutup dengan jumlah khalayak yang kecil. Lihatlah betapa uniknya filem yang satu ini.

Filem ini bertolak daripada kejadian Prebet Adam yang mengamuk di Chow Kit pada 18 Ogos 1987. Amir mengambil latar sebuah peristiwa bersejarah itu dan kemudian disulam seli dengan temu bual yang dilakonkan oleh
pelakon-pelakon yang tidak berbintang.
Kita wajar tumpang berbangga apabila slogan `Malaysia Boleh' telah membolehkan The Big Durian dicatatkan sebagai salah satu sejarah Festival Filem Sundance. Ia
menjadi sebahagian daripada catatan yang dikumpulkan oleh Robert Redford sejak 1981 untuk melihat ekspresi bebas generasi muda. Festival Filem Sundance bermula dengan 15 buah filem saja pada 1981. Tetapi kini telah lebih 600 buah filem menyertai festival ini. Lebih penting lagi salah satu daripadanya datang dari Malaysia.


[x] close