Cubit Manja bersama Siti Jarum: Mingguan Malaysia (22 June, 2003), p.39 Kalau boleh, tolonglah luangkan masa pukul 3 petang ini untuk menonton The Big Durian. Filem ini ditayangkan di Five Arts Centre, 27 Lorong Datuk Sulaiman 7, Taman Tun Dr. Ismail. Ini bukan filem Hollywood, Greenwood atau Bollywood. Ini filem Melayu. Kenapa judulnya tak glamor? Kenapa tak bagi judul macam Mrs. Cinderella atau Janji Diana? Kenapa The Big Durian? Pengarah filem ini ialah Amir Muhammad. Satu masalah lagi. Orang akan tanya, sudah berapa filem 'box-office' Amir dah buat? Siapa pelakonnya? Rosyam Nor,Norman Hakim atau Awie? Nama-nama ini semua tak ada. Nak cakap susah, tapi datang tengok baru tau. Tapi kata kawan Siti, dia dah banyak kali tengok filem The Big Durian. Dia kata, "The Big Durian buat yang orang tak pernah buat." Filem ini macam dokumentari tapi bukan dokumentari.Fakta dalam filem ini bukanlah fakta. Tapi memang wujud. Sebenarnya ada beberapa catatan yang cuba kita padamkan dari sejarah. Salah satu peristiwa 13 Mei 1969. Kita tidak diasuh melihat secara matang kerana kononnya bimbang sentimen perkauman. Siti fikir kita telah lama waras dan tidak fobia sangat dengan 13 Mei. Dalam The Big Durian, ada diselitkan mengenai 13 Mei. Pasal Prebet Adam mengamuk di Chow Kit. Pasal Ops Lalang pun ada. Biarlah kalau The Big Durian mahu menjadi sebuah 'political piece.' Siti yakin orang Malaysia tidak akan hilang waras apabila menonton The Big Durian. Amir menghasilkannya dengan waras lagi terbuka. Tujuannya mengajak penonton berfikir secara serius terhadap beberapa peristiwa yang menjadi milik bersama: Melayu, Cina dan India. |