Link to online article: http://www.siasahonline.com/junartikel03/big27062003.htm

Kemelut politik nasional, perkauman dan terkekangnya media dalam "The Big Durian"
Oleh: Abrorivai

1969, tahun gelap, 13 Mei berlaku satu rusuhan kaum, menjadi titik hitam dalam sejarah. 1987, 18 Oktober, malam hari, seorang askar mengamok di kawasan Chow Kit dengan senapang M16. Dia Prebet Adam. "Disebabkan tempat dan masa yang khusus waktu tu, satu negara jadi kaget," suara Amir Muhammad sebagai penyampai dalam "The Big Durian" memberitahu. Dalam kekagetan itu, seorang dilaporkan terbunuh dan dua lagi cedera. Tapi kesan yang lebih besar dari sebuah kematian, ada yang akan ditahan ke penjara kerana dakwaan untuk mencetus kembali, rusuhan kaum.

Filem ini wajib ditonton. Bukan semata-mata kerana persenyawaan cereka dengan dokumentari, tetapi kerana subjek yang dipilih agak luarbiasa berat bagi sebuah filem Malaysia. Ia, sangat jelas, sebuah naskhah politik. Amir, jika dinilai The Big Durian dengan sekian banyak tulisannya, kekal tajam matanya melihat isu politik, sosial dan agama. Kerajaan dan pembangkang dipertonton tidak jauh beda dalam filem ini, menerusi naratif yang dijalin baik.

Melihat The Big Durian dan filem pendeknya "6horts" terasa ingin menabalkan Amir Muhammad sebagai raja sinikal dunia filem Malaysia. Sinis dan kritik bermula sejak awal adegan-meraih ketawa penonton dalam tayangan sulungnya, di panggung The Actors Studio, bawah Dataran Merdeka, hujung April lalu. Sebahagian besar orang Islam, sebagai contoh, tentu tidak pernah mengetahui 'teori' sebahagian orang Cina dalam hubungan Islam dan babi. Salah satu watak dalam filem ini menyatakan rasa tidak faham kenapa orang Islam tidak makan babi. Menurut watak itu (seorang wanita Cina), bapanya menjelaskan, "sebab nabi Muhammad dulu pernah sembunyi dalam gua, seekor babi melindunginya, sebagai balasan dia berjanji umatnya tidak akan makan babi."

Orang Islam boleh saja (sekali lagi) mengamok kerana Nabi dipermain-mainkan. Tetapi, dilihat konteks perkauman yang ditanggung filem ini, babak itu merupakan kritikan terhadap kurangnya interaksi dan saling mengenal antara kaum sehinggakan budaya dan agama satu sama lain tidak dimengerti.

Gelora perkauman, peristiwa amok prebet Adam, Operasi Lalang 1987, "lalang adalah sejenis rumput yang tumbuh liar macam ni!" klip komedi animasi sebentar melonggarkan ketegangan; dan peranan media nampaknya, cuba disampaikan dalam nada seloka. The Big Durian mengutip bicara 23 rakyat Malaysia untuk menyelongkar apakah sebenarnya yang berlaku. Bagi pembicara dan pengarahnya, Amir Muhammad, "Di Kuala Lumpur waktu tu, rasa cemas dan ketakutan bergelumang. Politik nasional buat pertama kalinya, memberi kesan kepada rutin harian saya." Berita yang disajikan akhbar harian menukar corak riak Amir. Untuk mengetahui, apakah yang diperbuat orang lain ketika Adam mengamok, dan kesan peristiwa itu terhadap mereka, Amir melakukan siasatan lanjut.

Filem ini semacam menyimpan memori yang menarik. Tetapi, siasatan disusuli seloka menimbulkan ketidakpastian antara keseriusan dan kejenakaan-realiti dan khayalan. Ketika perasaan tersentuh kembali dengan sejarah hitam negara, jenaka-jenakanya bukan meredakan ketegangan seketika, ia acapkali 'mengganggu'. Pada saya, masalah aula filem ini, bermula dari ketidakseriusan itu. Kekaburan antara realiti dan fiksinya, tambah 'sakit' dengan seloka yang adakalanya menjadi.

Sensitivitinya menjadi kurang tajam. Atau tidak cukup tajam. Separuh tersentuh, separuh terleka. Sehingga filem berjalan agak lama, komposisi musik Hardesh Singh mengembalikan duri-duri yang tertinggal. Amir beruntung, ketika cuba mengungkap semula erti "amok", sempat menemui Salleh ben Joned yang mengakui pernah "hampir-hampir mengamok." Sudah lama nama penyair ini luput dalam dunia filem Melayu. Kali terakhir, dia membintangi filem "Bintang Malam" arahan Adman Salleh. Tapi kemudian, naskhah asalnya dipindahkan pengarah yang sama ke layar perak, "Amok Wan Man" diterjemah ke visual, dengan menggunakan judul "Amok" saja. Kini, dia hampir mengamok lagi. Tentunya "opening credit" filem ini menjadi perhatian. Animasi gubahan Deepak Kumaran Menon.

Lakonan merupakan masalah asas dalam filem-filem Malaysia. Kalau Anne James dan Jo Kukathas melakonkan watak-wataknya, atau membawa dirinya sendiri menerusi gubahan lakonan, saya kira, mereka berdua melahirkan gerak dan cakap lakon. Erna Mahyuni, sebagai pembicara awal, tidak melahirkan ekspresi yang kejap dan jitu, untuk melontarkan 'sihir' berbicara di hadapan kamera. Tarikan awal darinya, tidak meresapi. Begitu jugalah Rashid Salleh, saya kira, dia melewati kehendak yang mencukupi. Lakonan Namron juga membawa masalah besar di sini, masalah bukan pada pengucapannya, tapi kostumnya. Dengan memakai kostum begitu, kita percaya, Namron sedang berlakon sebagai seorang 'Director' meskipun, sebenarnya, Namron memang seorang 'Director.' Namron tidak perlu membesarkan dirinya untuk bergelar 'Director' dengan kostum sebegitu. Cukup batang tubuhnya, sudah menjamin kredibiliti watak pengarahnya, lalu menjadikan kata-katanya tidak boleh dipercayai. Fiksi dan realiti menjadi kabur. Farish Noor (entah disengajakan atau tidak, dalam filem ini gaya dan lenggok cakapnya seperti Mahfuz Omar, ahli parlimen Pokok Sena) dan Elizabeth Wong, kita sedar, pandangan mereka berdua mewakili diri sendiri.

Permainan kamera dan permainan cahaya (terutama melibatkan babak dalam bangunan) seolah tidak dipedulikan. Visual filem, secara keseluruhan, seolah-olah memberitahu telah berlaku pengabaian dalam aspek estetika tatacahaya. Syot dari dalam kereta, ketika membelok menelusuri jalan Chow Kit, kontang dan berwarna seakan biru. Tidak wujud lagi hukum cahaya di sini.

Mujur, filem ini pada banyak ketika, berbicara secara terbuka. Prebet Adam mengamok, sebabnya, jika diukur pada laporan satu pihak, kerana gangguan di kem latihan. Tetapi khabar angin tersebar, bahawa ia disebabkan kekuasaan yang membangkitkan api perkauman. Akibatnya "orang lain dok sembelih orang lain." Politik samseng mengekang kebebasan bersuara, bila Prebet Adam mula menembak di sekitar Chow Kit, "satu negara dok kat rumah." Betapa perkara-perkara sensitif tidak menjadi debat awam yang sihat, sebaliknya dijawab dengan parang. Betapa tak pedulinya rakyat Malaysia, bila negara diancam bahaya dan carut-marut kuasa. Inilah penyakit di sebuah negara yang kaya dengan buah durian. Maka banyaklah biawak merayap tatkala malam tiba. Amir Muhammad, cuba membukanya, separuh terbuka, separuh jenaka.-- Abrorivai


HAK CIPTA TERPELIHARA© SIASAHONLINE.COM


[x] close